Alor Setar: Terminal Bas Shahab Perdana yang menjadi stesen bas utama di bandar raya ini sejak 25 tahun lalu, akan dinaik taraf bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, usaha itu dilakukan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Syarikat Jasa Pedoman Sdn Bhd yang menandatangani memorandum perjanjian (MoA) hari ini.
Katanya, MoA menaik taraf dan mengurus Terminal Bas Shahab Perdana itu akan membabitkan dua fasa bermula 1 Oktober ini membabitkan kos RM12 juta.
"Kita menerima banyak rungutan orang ramai yang memohon supaya Terminal Bas Shahab Perdana dinaiktaraf, namun usaha pada 2023 tidak dapat dilakukan kerana kosnya terlalu tinggi sekiranya dilakukan MBAS saja.
"Jadi apabila ada syarikat berminat, menepati syarat dan mampu memberi perkhidmatan terbaik, kita sangat berbesar hati untuk bekerjasama. Fasa pertama akan bermula 1 Oktober membabitkan naik taraf Sistem Tiket Berpusat dan Sistem Operasi Terminal.
"Fasa kedua bermula April 2025 pula bagi kerja perubahan infrastruktur seperti pengubahsuaian dan reka bentuk semula laluan bas, ruang niaga, tandas dan lain-lain," katanya selepas menyaksikan perjanjian MoA antara Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud dan Pengarah Projek Syarikat Jasa Pedoman Sdn Bhd, Zaidi Shuib.
Mansor berkata, operasi bas di terminal itu tidak akan terganggu sepanjang kerja naik taraf dilakukan dengan Terminal Bas Shahab Perdana dijangka berwajah baharu pada pertengahan 2025.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, naik taraf terminal itu adalah sesuatu yang tepat kerana tahun ini terminal berkenaan memasuki 25 tahun selepas diwartakan sebagai tempat perhentian bagi kenderaan awam.
"Cadangan menaiktaraf dan mengurus terminal ini bermula pada 16 November 2023 dan MBAS meletakkan sasaran Terminal Bas Shahab Perdana akan dinaiktaraf pada 2024 bagi menampung permintaan orang ramai.
"Kita juga menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan menyediakan bas elektrik yang akan digunakan di kawasan terminal nanti. Kemudahan dan prasarana ini sekali gus dapat merancakkan Tahun Melawat Kedah 2025 dan kempen Mai Singgah Alor Setar," katanya.