Bayan Lepas: "Sudah beberapa hari pasar raya itu tidak beroperasi dan tidak pasti sama masih ada pekerja di dalamnya.
"Ada penduduk yang nampak, beberapa individu mengangkut barang ke atas sebuah lori pada waktu malam," kata penduduk yang mahu dikenali sebagai Rosdi, 42, mengenai Ikhwan Mart di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara di sini, yang dipercayai berkait dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Rosdi berkata, premis itu turut mempunyai kedai makan di sebelahnya.
Katanya, sejak isu GISBH dilapor media, premis itu kurang menerima pengunjung sehingga ia ditutup beberapa hari lalu.
"Pasaraya berkenaan memang jadi pilihan penduduk kerana harga beberapa barangan yang ditawarkan juga lebih rendah selain menjual barangan keluaran bumiputera.
"Saya berpindah ke penempatan ini enam tahun lalu dan ketika itu premis ini sudah ada," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati premis berkenaan ditutup sepenuhnya dengan pintu dipasangkan rantai dan 'ditandakan' dengan kerusi.
Terdapat beberapa kotak barangan bertulis 'Ikhwan' ditinggalkan di kaki lima premis berkenaan.
Manakala tinjauan terhadap Ikhwan Cafe di Lebuh McNair, Georgetown juga mendapati premis itu juga ditutup.
Semalam, media melaporkan pengesahan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abd Hamid mengenai serbuan oleh pihak berkuasa terhadap empat premis termasuk rumah jagaan yang disyaki berkaitan dengan GISBH di sekitar daerah Seberang Perai.