Kuala Kedah: Feri penumpang dua hala dari Kuala Kedah ke Langkawi beroperasi semula hari ini selepas tiga hari ditutup sejak Khamis lalu susulan ombak tinggi dan ribut.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, empat trip dari Kuala Kedah ke Langkawi beroperasi hari ini manakala lima trip dari Langkawi ke Kuala Kedah membabitkan 1,664 penumpang dua hala setakat jam 11 pagi hari ini.
Beliau berkata, feri pertama dari Kuala Kedah ke Langkawi bermula jam 1.30 tengah hari diikuti feri kedua pada jam 3 petang dan 4.30 petang serta 6 petang hari ini.
"Perjalanan feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pula bermula jam 10.30 pagi diikuti 12 tengah hari dan 1.30 tengah hari selain trip Feri pada jam 3 petang dan 4 petang hari ini.
"Keadaan cuaca dan laut dalam keadaan baik dan penumpang masih boleh membuat pembelian tiket melalui secara dalam talian dan di kaunter," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Baharin berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), bermula 24 September hingga awal November akan berlaku peralihan monsun Barat Daya yang boleh menyebabkan angin kencang dan hujan lebat di utara Semenanjung pada lewat petang sehingga ke malam.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan berkaitan cuaca di laut semasa daripada komuniti nelayan setempat dan bilik kawalan Jabatan Laut Malaysia.
"Pihak Konsortium akan membuat hebahan sekiranya berlaku sebarang perubahan jadual feri dari semasa ke semasa melalui hebahan media massa dan aplikasi 'Cuti-Cuti Langkawi'," katanya.
Baharin berkata, sepanjang lima hari pembatalan feri dibuat sejak 17 September hingga semalam, pihak Konsortium membuat pulangan hampir RM200,000 kepada penumpang yang terjejas membabitkan perjalanan dua hari dari Kuala Kedah ke Langkawi.
Sementara itu, penumpang feri, Mohd Fuadi Indera, 34, berkata, dia sekeluarga menaiki feri dari Langkawi ke Kuala Kedah pada 15 September lalu untuk pulang ke kampung sempena cuti sekolah.
Katanya, dia dan isterinya, Norhayati Saidin, 34, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun sepatutnya pulang ke Langkawi pada 20 September lalu tetapi dimaklumkan kesemua trip feri dibatalkan sehingga semalam.
"Hari ini kami datang membeli tiket di kaunter untuk menaiki feri jam 12 tengah hari tetapi trip itu dibatalkan dan kami membeli tiket pada jam 1.30 tengah hari.
"Kami memilih menaiki perjalanan feri dari Kuala Kedah kerana lebih dekat kerana jika hendak ke Kuala Perlis, kami perlu menempuh perjalanan yang jauh," katanya.