Georgetown: Struktur haram kandang kuda di Jalan Batu Feringghi, di sini, dirobohkan kerana dibina di atas tanah milik kerajaan selain menyebabkan kacau ganggu.
Dalam operasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini, turut menemukan tiga kuda dengan seekor daripadanya cedera pada kaki dan badan.
Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, operasi yang turut membabitkan polis serta Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP itu dilakukan susulan aduan dan keselamatan awam.
Menurutnya, kerja perobohan itu dilakukan mengikut Sesyen 81(e) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menyebabkan kacau ganggu dan pembinaan di atas tanah kerajaan.
"Didapati penjagaan kuda di persekitaran bangsal juga tidak sesuai selain saliran kumbahan tidak dijaga dengan baik serta dialirkan terus ke sungai," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.
Noorazrein berkata, berikutan terdapat satu semi treler kandang yang hanya boleh menempatkan dua kuda pada satu masa, seekor lagi kuda terpaksa dilepaskan dan diserah kepada pemilik.
"Bangsal kuda ini dipercayai didirikan sejak setahun lalu dan kuda berkenaan dikatakan diambil dari pusat lumba kuda kerana kebanyakannya mempunyai cap nombor di bahagian badan haiwan terbabit.
"Kita turut kenal pasti sebanyak empat lagi kandang yang dibina secara haram di sekitar Batu Feringghi dan tindakan juga akan dilakukan secara berperingkat.
"Kuda-kuda ini digunakan dalam aktiviti berkuda di pesisir pantai sekitar Batu Feringghi yang dikendali warga asing," katanya.
Difahamkan, notis mengenai struktur pembinaan itu sudah diberi kepada pemilik bagi kerja perobohan sendiri dan pihak MBPP melanjutkan tempohnya sehingga sebulan.
"Namun sehingga tarikh diberikan, bangsal itu tetap ada dan jumlah kuda bertambah kepada tiga ekor berbanding dua ketika pemeriksaan sebelumnya," katanya.
Pasukan MBPP mengambil masa lebih empat jam 'memujuk' kuda bagi memasuki float dan seorang wanita mengaku adik kepada pemilik kuda turut hadir menyatakan rasa tidak puas hati mengenai perobohan itu.
Laporan khas Harian Metro pada 22 dan 23 Julai lalu memaparkan mengenai perkhidmatan aktiviti berkuda berkenaan, kembali beroperasi walaupun serbuan dijalankan secara berterusan dan lebih 50 tindakan penguatkuasaan diambil sepanjang Januari hingga Mei lalu.
Kerajaan Pulau Pinang kemudia memutuskan larangan perkhidmatan aktiviti berkuda di pesisir pantai Batu Feringghi bermula 1 September lalu.