Alor Setar: Jumlah takungan di tiga empangan utama di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kini mencapai paras 40.93 peratus, sekali gus mencukupi bagi kegunaan musim menanam padi 2/2024 bermula pada hujung bulan ini.
Pengerusi Mada Datuk Dr Ismail Salleh berkata, takungan air di Empangan Pedu mencatatkan bacaan 35.82 peratus, Empangan Muda (9.16 peratus) dan Empangan Ahning (78.82 peratus) setakat hari ini.
Menurutnya, paras takungan Empangan Muda dilihat rendah kerana kawasan itu berfungsi sebagai lokasi takungan dan airnya disalurkan ke Empangan Pedu bagi kegunaan pertanian.
"Simulasi takungan air di Empangan Pedu yang mengambil kira hujan purata tahunan di kawasan Muda mendapati paras takungan dijangka naik sehingga 46 peratus pada permulaan musim menanam padi 2/2024.
"Status terkini kedudukan takungan semasa ketiga-tiga empangan adalah mencukupi bagi keperluan Musim 2/2024. Sumber bekalan sokongan daripada pelepasan empangan juga mencukupi sehingga akhir musim.
"Selain itu, jangkaan paras takungan Empangan Pedu akan berada pada tahap 72 peratus yang mencukupi bagi memulakan bekalan pengairan untuk Musim 1/2025 tahun hadapan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Ismail memaklumkan status kemajuan aktiviti penanaman padi sehingga 28 Ogos lalu menunjukkan kawasan padi masak mencapai 11.5 peratus.
Katanya, aktiviti penuaian sudah dimulakan oleh pesawah dengan kawasan tuaian kini mencapai 1.5 peratus.
"Tahap pematuhan jadual penanaman padi bagi Musim 1/2024 mencapai 73.6 peratus berbanding musim 1/2023 sebanyak 28.3 peratus.
"Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan pematuhan jadual antaranya penetapan jadual penanaman yang bersesuaian, ketersediaan benih padi sah dan pelaksanaan program pemulihan tanah jerlus," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan pesawah bagi memulakan musim tanaman padi baharu apabila berlaku penyusutan paras takungan air di empangan berikutan cuaca kemarau berpanjangan yang melanda.
Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa termasuk operasi pembenihan awan bagi meningkatkan kembali paras empangan sebelum cuaca kembali hujan ketika ini.