Abang Bomba 1 Ular 0
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 2, 2024 @ 5:49pm[email protected]
Anggota BBP Sik menangkap ular sawa sepanjang empat meter di belakang sebuah hotel di Sik, hari ini. -FOTO IHSAN BOMBA
SIK: Seekor ular sawa sepanjang empat meter bertindak agresif dan cuba menyerang anggota bomba dalam operasi menangkap reptilia itu di belakang sebuah hotel di sini hari ini.
Bagaimanapun, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik nyata jauh lebih tangkas dan berjaya menangkap ular sawa berkenaan dalam lima minit.
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan khidmat khas menangkap ular pada jam 11.15 pagi tadi.
Katanya, ular sawa berkenaan ditemui sekumpulan pekerja ketika melakukan kerja pembersihan di belakang premis hotel terbabit.
"Ular sawa itu dipercayai keluar melalui semak berhampiran dan bersembunyi dalam longkang di belakang hotel terbabit.
"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prem Keu bersama tujuh anggota," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zulkhairi menasihatkan penduduk setempat menjaga kebersihan kerana ular cenderung menjadikan tempat lembap dan sejuk untuk berlindung.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/09/1293149/abang-bomba-1-ular-0
|