Latih guru KAFA modul latihan, metodologi pengajaran terkini - Tuanku Syed Faizuddin
Oleh BERNAMA - September 2, 2024 @ 6:14pm
Tuanku Syed Faizuddin Putra. - NSTP
KANGAR: Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) hendaklah dilatih dengan modul latihan terkini dan metodologi pengajaran yang berkesan, selain didedahkan dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha itu penting untuk memastikan keberkesan pengajian KAFA dalam membentuk kemenjadian murid.
"Perhatian dan penekanan perlu diberikan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui pembangunan serta latihan kepada guru KAFA secara konsisten dan tersusun.
"Untuk itu, agensi pelaksana KAFA yang berkaitan perlu peka dalam mengenal pasti kelemahan yang ada supaya modul yang dibangunkan dan latihan diberikan bertepatan," titah baginda semasa berkenan merasmikan Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan 2020 di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dengan majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, agensi pelaksana KAFA pada setiap peringkat hendaklah berusaha menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik khususnya bilik darjah yang selesa dan kondusif untuk murid.
"Peralatan teknologi seperti komputer, projektor dan alat bantu seumpamanya diperlukan sebagai menyokong pembelajaran digital dan interaktif," titah baginda.
Titah baginda lagi, bagi menyokong pembelajaran dan perkembangan anak-anak, agensi pelaksana KAFA perlu memikirkan strategi bersesuaian bagi menggalakkan penyertaan aktif ahli komuniti dan ibu bapa dalam program KAFA.
"Wujudkan jalinan kerjasama dengan masjid dan institusi sosial berdekatan supaya medan penghayatan cara hidup Islam itu lebih dapat diperluas dan dipraktikkan di luar bilik darjah," titah baginda.
Sementara itu, Mohd Na'im melalui ucapan berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggerakkan Pelan Transformasi Al-Falah yang meletakkan aspek pendidikan Islam sebagai antara teras penting.
"Aspek ini diberikan penekanan untuk memacu tahap pendidikan Islam yang mampan, holistik dan inklusif selaras dengan Rancangan Malaysia dan dasar sedia ada negara ke arah membina kegemilangan tamadun ummah menuju Malaysia MADANI," katanya.
Mohd Na'im berkata terdapat 35,000 guru KAFA dan 1,271,837 murid KAFA di negara ini setakat Ogos lalu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1293167/latih-guru-kafa-modul-latihan-metodologi-pengajaran-terkini-tuanku
|