Tiada halangan universiti wujud fakulti AI - Zambry
September 2, 2024 @ 4:47pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan Tinggi tidak menghalang mana-mana universiti di negara ini mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) jika mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang memohon menubuhkan fakulti AI dan sains pengkomputeran kerana kewujudan fakulti dalam cabang baharu penting seiring perubahan mengikut masa.
"Kita sudah melancarkan fakulti AI sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), namun kita tidak menghalang bagi universiti yang mempunyai kepakaran mereka di dalamnya untuk meneruskan.
"Hari ini seperti disyorkan UniMAP iaitu mereka ingin mewujudkan fakulti AI dan sains komputer, maka kita tidak ada halangan untuk mereka meneruskan fakulti itu," katanya selepas merasmikan Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2024 (GTEST2024) di sini, hari ini.
Zambry berkata, pewujudan fakulti AI mencerminkan komitmen universiti melabur dalam infrastruktur penyelidikan revolusi dan menyokong projek antara disiplin.
Beliau juga menekankan kepada universiti di negara ini mempunyai program tersendiri yang bertaraf antarabangsa kerana ia antara elemen penting dalam dasar pendidikan tinggi negara, sekali gus akan meletakkan universiti di posisi terbaik dunia.
Sementara itu, mengulas sama ada kementeriannya bercadang membuat saringan terhadap pelajar luar negara susulan virus cacar monyet (mpox), Zambry berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat sebarang langkah berkaitan penyakit itu.
"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pada Mesyuarat Kabinet berhubung langkah sudah dibuat pihaknya.
"Saya serahkan kepada KKM memaklumkan langkah yang dilakukan dan jika perkara (mpox) terus berleluasa, tentunya menteri berkenaan buat pengumuman," katanya.
Sebelum ini, KKM memaklumkan 33 kes disyaki mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan sejak awal tahun dan daripada jumlah itu, 32 kes disahkan negatif, manakala satu kes lagi masih menunggu keputusan makmal. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1293113/tiada-halangan-universiti-wujud-fakulti-ai-zambry
|