Kulim: "Kalau tak dapat bantu banyak, sikit pun jadilah kerana saya tak tahu mana nak cari duit sebanyak itu," kata Mohammad Azhar Arzemi, 31, yang memerlukan RM2,060 bagi membayar kos ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) buat anaknya, Nur Khaulah Al Azwar Mohammad Azhar, 5, yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok.
Mohammad Azhar dari Batu 4, Sungai Ular di sini berkata, ujian MRI itu dijalankan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani semalam namun belum dibayar kerana tiada wang.
Katanya, ia adalah ujian MR kedua dijalankan selepas kali pertama ketika Nur Khaulah Al Azwar yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal berumur dua tahun.
"Doktor beritahu kena buat MRI dua minggu lalu, masalahnya saya tak ada duit untuk bayar kos ujian MRI itu.
"Ia kerana saya hanya jual daging perap secara dalam talian dan pendapatan pun tak menentu. Jadi atas sebab itu saya merayu orang ramai untuk menyumbang kerana perlukan dana itu secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi perihal anaknya, Mohammad Azhar berkata, doktor memaklumkan Nur Khaulah Al Azwar perlu menjalani pembedahan tulang belakang bengkok namun bukan sekarang kerana berisiko lumpuh.
"Menurut doktor, waktu yang sesuai untuk anak saya buat pembedahan adalah ketika usianya 10 tahun. Jika buat sekarang dikhuatiri beri kesan pada sarafnya dan kemungkinan akan lumpuh.
"Buat masa ini, anak saya boleh berjalan cuma tak dapat pergi sekolah manakala waktu tidur pula badannya akan melengkung disebabkan masalah tulang belakang itu," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Nur Khaulah Al Azwar yang bukan hanya mengalami masalah tulang belakang bengkok tetapi menghidap 'golden har syndrome' atau kecacatan pada cuping telinga kanan.
Penyakit itu dikesan sejak lahir dan kesannya, Nur Khaulah Al Azwar tidai dapat mendengar kerana saluran gegendang (telinga) halus.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB bernombor 7047468689 atas nama Mohammad Azhar Arzemi atau menghubunginya di talian 010-219 5301.