Muar: Suspek kes bunuh dan bakar mengakibatkan kematian tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh, dekat sini, pada Jumaat lalu direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid terhadap suspek berusia 48 tahun sehingga 20 Ogos ini.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Muar pada 9.13 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.
Suspek ditahan di sekitar Bukit Bintang pada 1 pagi tadi selepas didapati merayau sambil membawa beg berisi pakaian.
Penahanan suspek dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil risikan dan maklumat diterima.
Suspek melarikan diri ke ibu kota pada hari kejadian dengan menaiki bas, manakala motosikal ditunggangnya ditinggalkan di Terminal Bas Bentayan, di sini.
Sebelum tangkapan dibuat, polis menerima maklumat mengenai kelibat suspek yang dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada 1.30 pagi, tiga sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh.
Mereka ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, bersama isteri, Ara Abd Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hasyim, 11, manakala seorang lagi mangsa, Norazmina Mohd Radhi, 14, terselamat.
Bedah siasat terhadap jenazah Noradriana mendapati terdapat kesan retakan di kepala dipercayai dipukul dengan kayu.
Selain itu, kakaknya yang masih menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, juga cedera di kepala dan menerima lapan jahitan selain patah pergelangan tangan kanan.
Siasatan pada awalnya diklasifikasikan mati mengejut, namun ditukar kepada kes bunuh susulan laporan bedah siasat ke atas jenazah mangsa.