CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13716|Reply: 0

Paris 2024: Aaron-Wooi Yik bangkit dari ambang kekalahan untuk pertahan gangsa

[Copy link]
Post time 5-8-2024 05:48 AM | Show all posts |Read mode


Aaron dan Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu lelaki Denmark dalam penentuan pingat gangsa acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle hari ini. - Gambar BERNAMA
Daripada Vikneswaran Raman

PARIS: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit dari ambang kekalahan untuk mempertahankan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Pada aksi penentuan gangsa yang penuh dramatik di Porte de La Chapelle Arena, mereka mengatasi Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19 untuk mengekalkan status mereka selaku penyandang gangsa.

Terdahulu, juara dunia 2022 itu bermula sedikit goyah apabila melakukan banyak kesilapan mudah yang mengakibatkan mereka tewas di set pertama.

Beregu di ranking ketiga dunia itu kemudian bangkit dari ketinggalan 16-20 untuk menyamakan kedudukan 20-20, sebelum menang 22-20 sekali gus menghidupkan kembali peluang meraih gangsa pada set penentuan.

Pada set ketiga, Aaron-Wooi Yik yang menghadapi tentangan sengit berjaya mengatasi beregu nombor dua dunia itu pada set ketiga untuk mengekalkan pingat gangsa dimenangi mereka pada edisi lepas.

Di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak, selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit pada Jumaat.

Malaysia sebelum ini pernah meraih pingat sebanyak empat kali dalam acara beregu lelaki di Olimpik sejak badminton diperkenalkan pada Barcelona 1992.

Gandingan Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek menghadiahkan pingat pertama Malaysia di pentas Olimpik pada edisi pertama, iaitu gangsa, diikuti kejayaan perak Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di Atlanta 1996 dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016, selain gangsa Aaron-Wooi Yik di Tokyo 2020. - BERNAMA



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-9-2024 11:25 AM GMT+8 , Processed in 0.059326 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list