PUTRAJAYA – Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang berminat boleh mendapatkan LMM Kelas B dengan kos yuran hanya RM160 sahaja berbanding RM900 sebelum ini.
Beliau berkata, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas selama dua jam di Institut Memandu (IM) melibatkan program amali penunggangan dan informasi pemanduan selamat.
“Syarat lain ditetapkan adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
“Malah, pemohon juga perlu melakukan pengesahan sihat tubuh badan, fizikal, minda secara deklarasi kendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan program khas peralihan itu namun, ia bukan dilaksanakan secara automatik sebaliknya perlu melepasi syarat-syarat ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
Gambar hiasan
|