|
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz meninjau keadaan kolam terjun di Pusat Akuatik MBJB, Ahad lalu. - Foto NSTP/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menggariskan panduan komprehensif bagi penganjuran sebarang aktiviti sukan di sekolah di negeri ini susulan kejadian kolam renang tercemar ketika Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ), minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata panduan itu bagi menjaga keselamatan, kesihatan, dan kebajikan murid-murid sekolah Johor seperti yang digariskan Kerajaan Negeri.
Katanya, panduan itu bagi memastikan semua aktiviti sukan sekolah berjalan dengan lancar dan selamat.
"Panduan ini menggariskan langkah-langkah penting yang perlu diikuti sebelum, semasa, dan selepas setiap acara, bertujuan untuk mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Antara langkah sebelum yang perlu dilaksanakan ialah guru pembimbing perlu membuat saringan kesihatan dan melengkapkan borang deklarasi kesihatan yang disediakan oleh penganjur atu pengelola.
"Penganjur dan pengelola perlu memastikan penilaian risiko dan khidmat nasihat berkaitan penyakit berjangkit dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yangberhampiran dengan lokasi program," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik MSSJ 2024 terpaksa dikejarkan ke hospital, selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air yang terdapat dalam kolam renang dan kolam terjun di.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat keadaan kolam terbabit tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan fasiliti berkenaan dan mengarahkan Pusat Akuatik itu ditutup sementara waktu sehingga semua kerja baik pulih selesai.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah dilaporkan berkata, keputusan sampel air di kolam Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin disahkan tercemar bakteria e-coli.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, panduan itu menetapkan perlu adanya lawatan lapangan awal untuk menilai risiko keselamatan dan kesihatan, serta mendapat pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa atau agensi yang berkenaan.
"Penganjur dan pengelola perlu memastikan keselamatan peralatan dan tempat yang akan digunakan dalam keadaan baik, berfungsi dan selamat selain menyediakan bilik atau tempat rawatan kecemasan yang berhampiran beserta dengan pegawai bertugas serta kemudahan pengangkutan yang relevan,"katanya .
Aznan menegaskan semasa program dijalankan pula, penganjur perlu memberikan penerangan kepada murid berkaitan langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan serta peraturan keselamatan sebelum program dilaksanakan.
Katanya, guru dan murid yang mempunyai simptom atau gejala penyakit berjangkit seperti demam, cirit-birit, muntah, selsema dan batuk yang telah disahkan oleh pengamal perubatan tidak dibenarkan mengikuti aktiviti.
"Penganjur dan pengelola perlu memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan kebersihan makanan. Semua yang terbbait juga perlu menjaga kebersihan kawasan persekitaran di lokasi program dilaksanakan.
"Sekiranya guru atau murid yang mengalami gejala penyakit berjangkit atau tidak sihat, perlulah mendapatkan rawatan segera di klinik yang berhampiran.
"Selain memastikan keberadaan guru pembimbing atau guru pengiring sepanjang masa bersama-sama murid yang terbabit,"katanya.
Mengulas lanjut, Aznan menjelaskan prosedur selepas aktiviti sukan, guru atau murid perlu memantau kesihatan kendiri selepas aktiviti dilaksanakan dalam tempoh sebulan.
"Sekiranya guru atau murid mengalami gejala penyakit berjangkit atau tidak sihat selepas menjalani aktiviti, perlu mendapatkan rawatan segera di klinik yang berhampiran dan maklumkan kepada pengamal perubatan mengenai tempat dan aktiviti yang dilakukan.
"Diharapkan dengan mematuhi garis panduan ini, kita dapat menghasilkan persekitaran yang lebih selamat dan menyeronokkan untuk semua peserta pertandingan pada masa akan datang," katanya.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|