|
GAMBAR hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.16 malam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan disedari pada jam 8.50 malam oleh ahli keluarga mangsa membabitkan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 56 tahun dan 78 tahun yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kanak-kanak itu.
Beliau berkata, terdahulu mangsa bersama ahli keluarga beriadah di kolam renang pangsapuri terbabit sebelum kanak-kanak itu dikatakan dibawa pulang ke rumah di tingkat 16 oleh pasangan suami isteri berkenaan sementara menunggu ibu mangsa dan ahli keluarga lain yang ke dobi di aras tujuh.
"Ketika berada di dalam rumah, pasangan suami isteri itu didakwa meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu, untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun selepas selesai menunaikan solat, kedua-duanya dikatakan mendapati mangsa tiada di dalam rumah.
"Hasil pencarian, kedua-duanya kemudian mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke aras 8 pangsapuri itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Raub berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh melalui tingkap bilik tidur yang terbuka dan tidak dipasang jeriji.
Akibat kejadian itu, katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dipercayai terdapat unsur pengabaian ke atas mangsa. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi talian 07-2182323 bagi membantu siasatan," katanya.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|