JITRA: Dua lelaki ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam lubang pembetung di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting dekat Jitra di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.29 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Beliau berkata, lubang pembetung itu dianggarkan sedalam kira-kira 4.5 meter.
"Setibanya di lokasi, disahkan terdapat dua lelaki terperangkap dalam lubang berkenaan.
"Pihak kami kemudian menggunakan alat pengesan gas bagi memastikan kewujudan gas tertentu di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Bustan berkata, anggotanya kemudian lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan menyelamat lain turun ke dalam pembetung berkenaan.
Beliau berkata, anggotanya berjaya membawa naik kedua-dua mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Kedua-dua mangsa dipercayai berusia 27 dan 31 tahun.
"Operasi membawa naik mangsa keluar dari pembetung berkenaan tamat kira-kira jm 12.32 tengah hari," katanya.