Butterworth: Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Bagan Ajam di sini, sejak Khamis lalu, berjaya ditemukan.
Abang tirinya, Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, berkata, Siti Nur Khaireena Zufairi ditemukan kira-kira jam 9 pagi semalam, di Kulim Kedah.
Katanya, terdahulu dia menerima panggilan daripada kenalan Siti Nur Khaireena yang menemukan adiknya di sebuah rumah.
"Kenalannya itu kemudian menghubungi saya dan memberi alamat keberadaan Siti Nur Khaireena sebelum dia dijemput keluarga.
"Adik dalam keadaan baik dan syukur dia ditemukan dalam keadaan selamat," katanya ketika menghubungi Harian Metro semalam.
Menurut Mohammad Nurul Asrul, adiknya dikatakan ke Kelantan dengan rakannya sebelum pulang ke Kulim, dengan kenalan berlainan.
Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan gadis berkenaan tidak pulang ke rumah dan dipercayai mengikut kenalannya ke Kota Bharu, Kelantan.