ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai yang berhasrat menyewa kenderaan di Pulau Langkawi supaya membuat semakan secara terperinci bagi mengelak masalah.
Ketua Pengarah, Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya menerima aduan bahawa kebanyakan kenderaan sewa di pulau itu tiada permit dan insurans.
Penyewa kenderaan tanpa permit tiada perlindungan insurans kerana ia adalah kenderaan persendirian.
"Kenderaan sewa itu hanya melindungi pemilik kenderaan sewa itu saja tetapi apabila pemilik membenarkan ia disewa secara tidak sah, risiko akan berlaku kepada penyewa kerana insurans tidak melindungi mereka," katanya di Ibu Pejabat JPJ Kedah sempena lawatan pertamanya sebagai Ketua Pengarah, hari ini.
Beliau mengulas laporan Harian Metro pada 18 Julai lalu berkaitan kereta sewa berani mati di Pulau Langkawi.
Dalam laporan itu, lebih 1,000 kenderaan sewa tidak berlesen terutama kereta dikesan beroperasi di Pulau Langkawi sekali gus dibimbangi mendatangkan masalah kepada penyewa terutama pelancong.
Sehubungan itu, Aedy Fadly berkata, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya sekiranya menyewa kenderaan perlu melihat dengan lebih terperinci di kaunter dan membuat perbincangan sewajarnya dengan pemilik kenderaan sewa terbabit.