Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, lemas selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya di Pantai Chenang, Langkawi.
LANGKAWI: Seorang remaja lelaki ditemui lemas hari ini, selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya di Pantai Chenang di sini, petang semalam.
Mayat Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, dari Kampung Bohor Tempoyak, di sini ditemui orang awam yang membantu operasi dan menyelamat (SAR) pada jarak 150 meter dari lokasi dilaporkan hilang, kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mayat mangsa dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuala Chenang dan disahkan identiti oleh bapanya, Azizi Admi.
"Mayat mangsa ketika ditemui tidak mengalami sebarang kecederaan dan lengkap berpakaian.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) yang tiba di lokasi dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).
Media semalam melaporkan kejadian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya berusia 14 tahun daripada lemas.
Menurut laporan itu, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.05 petang.
Sejurus itu, operasi SAR bagi mencari mangsa diaktifkan membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.