GEORGETOWN: Usaha keras mengulangkaji pelajaran sehingga tujuh jam sehari pada hujung minggu membuahkan hasil apabila Nurhafizah Abdul Raseed berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.
Nurhafizah, 20, yang memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Ekonomi, Perakaunan dan Pengajian Perniagaan berkata dia bersyukur mencipta sejarah dalam keluarga menjadi satu-satunya anak yang cemerlang dalam bidang akademik.
"Bagi saya, Perakaunan paling susah, paling tinggi saya pernah dapat PNGK 2.8 sebab itu saya kena usaha lebih dan tak sangka dapat A dalam kesemua mata pelajaran tersebut.
"Secara peribadi silibus STPM bukan mudah difahami, jadi saya perlu banyak masa dan kerap bertanya guru semasa berada di dalam kelas.
"Saya tak mampu pergi tuisyen kerana yurannya mahal jadi saya belajar sekurang-kurangnya tiga jam pada hari biasa dan sehingga tujuh jam pada Sabtu Ahad," kata bekas penuntut Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin (KTEHZA) itu ketika ditemui hari ini.
Anak bongsu daripada dua beradik itu menghadiahkan kejayaan itu kepada ibu bapanya, Hasnah Hashim dan Abdul Raseed M Abdul Karim yang masing-masing mencari nafkah sebagai pekerja pembersihan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan pemandu teksi.
"Saya rasa dengan pelajaran saya dapat mengubah nasib keluarga. Mereka sekarang sedang bekerja jadi tak dapat datang dan keputusan ini akan menjadi kejutan buat mereka.
"Ibu bapa tulang belakang kejayaan saya dan saya rasa dengan pelajaran dapat mengubah nasib keluarga pada tahap lebih baik," katanya yang bercita-cita menjadi guru akaun.
Secara keseluruhan, lapan pelajar dari KTEHZA memperoleh PNGK 4.0 termasuk dua sahabat baik Amsyar Muawiyah Mohd Sofi dan Nurfadzlina Thaulath yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusateraan Melayu dan Sejarah.
Amsyar berkata, bapanya sudah meninggal dunia ketikanya usianya 16 tahun dan anak sulung daripada dua beradik itu sanggup mengulang menduduki peperiksaan pada semester 1 dan 2 sehingga mendapat semua A dalam mata pelajaran.
Katanya, selepas pemergian bapanya, ibunya Mardiah Ismail, 47, bekerja sebagai tukang cucidi Kompleks Mahkamah Pulau Pinang untuk menampung keperluan keluarga.
"Walaupun sudah dapat A- atau B saya tetap akan ulang sampai semua dapat A dan Alhamdulillah saya bersyukur apa yang diusahakan membuahkan hasil.
"Saya akan selalu ingat pesanan mak dan arwah ayah supaya jangan pernah sombong dan kena belajar sungguh demi masa depan sendiri," katanya.
Bagi Nurfadzlina pula, meskipun aktif dalam kokurikulum termasuk menjadi Timbalan Majlis Perwakilan Pelajar dia tetap memberi keutamaan dalam bidang akademik dan menyifatkan kedua-dua penting dalam pembentukan sahsiah pelajar.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata bapanya yang bekerja sebagai pembantu kedai roti canai dan ibunya suri rumah sering memberi semangat dan dorongan untuknya menempa kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Saya belajar secara konsisten dan bersyukur dapat meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran selepas berjaya mencatat keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.
"Alhamdulillah saya ada dua kakak yangbaru menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seorang lagi sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kuala Lumpur," katanya.