CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 18261|Reply: 0

[Perlis] Manfaat 1,200 usahawan desa

[Copy link]
Post time 23-7-2024 07:19 AM | Show all posts |Read mode
Manfaat 1,200 usahawan desa


Aizat Sharif[email protected]




MOHD Sabri (tiga dari kanan) meninjau reruai pempamer pada Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Zon Utara Tahun 2024. FOTO Ihsan KKDW





Kangar: Peruntukan sebanyak RM1.7 juta disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memberi pendedahan secara langsung serta praktikal kepada usahawan desa supaya beralih kepada teknologi baharu dan pendigitalan pada tahun ini.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Mohd Sabri Ramly berkata, pihaknya menyasarkan 1,200 usahawan desa menerima manfaat ini dengan jangkaan peningkatan pendapatan antara 10 hingga 30 peratus selepas tempoh setahun pemasaran produk dalam talian.

"Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri 3 Tahun 2024 di bawah Program Desamall yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu sudah menerima penyertaan 2,524 usahawan yang mendapat manfaat daripada program ini.

"Siri 1 dan 2 program ini pada tahun ini juga sudah dilaksanakan pada Februari dan Jun yang lalu dengan kehadiran seramai 361 usahawan dan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada usahawan yang menyertai beberapa siri program sebelum ini, ia banyak membantu usahawan menambah baik operasi perniagaan serta sedikit sebanyak dapat mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.

"Selaras dengan kepesatan transformasi digital, kita turut mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan teknologi pintar iaitu teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Kecerdasan Pengguna (CI) dalam pelaksanaan program ini," katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar pada Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Zon Utara Tahun 2024 di sini, semalam.

Katanya, penggunaan teknologi ini penting terutama dalam menganalisa keperluan setiap usahawan desa yang hadir bagi mengenal pasti dan mencadangkan solusi digital bersesuaian dalam mendigitalkan pengurusan dan pengoperasian perniagaan diusahakan.

"Baru-baru ini, Microsoft mengumumkan pelaburan yang signifikan sebanyak RM10.5 bilion dalam aspek infrastruktur awan atau cloud computing dan Kecerdasan Buatan (AI) di negara ini dimana pelaburan ini dijangka akan menjadi satu game changer kepada ekonomi negara, khusus dalam memperkasa usahawan luar bandar.

"Ini adalah melalui penciptaan peluang kemahiran tambahan dalam bidang AI untuk 200,000 rakyat negara ini dan penubuhan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan mesej yang saya cuba sampaikan apabila menyentuh perkara ini adalah dunia perniagaan akan datang bakal berubah dengan perubahan drastik khusus apabila kita bercerita tentang AI dimana ia berupaya mempermudah pelbagai aspek perniagaan yang akhirnya memberi kelebihan kepada sesuatu entiti perniagaan tersebut berbanding persaingannya.

"Sebagai contoh, AI boleh diguna dalam perakaunan dan kewangan, perkhidmatan pelanggan, keselamatan siber, jualan dan pemasaran, logistik dan pelbagai aspek peniagaan dan sekiranya usahawan desa tidak melengkapkan diri dengan teknologi terkini khususnya yang berkait dengan keusahawanan maka saya khuatir mereka akan jauh ketinggalan yang pada akhirnya menyebabkan mereka tidak dapat bertahan lama," katanya.

Terdahulu, Mohd Sabri meninjau reruai pempamer yang mengikuti program berkenaan serta beramah mesra dengan peserta yang mengikuti program berkenaan.

Seramai 193 usahawan dari Zon Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyertai program yang berlangsung sehingga esok dan dimana ia adalah inisiatif tambahan yang dilaksanakan kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan pemasaran produk.



MOHD Sabri (tengah) bersama peserta yang menyertai Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Zon Utara Tahun 2024. FOTO Ihsan KKDW

Sementara itu, usahawan desa yang ditemui melihat program ini mampu memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada mereka dalam memasarkan produk secara digital seiring dengan kemajuan teknologi semasa.

Usahawan kerepek, Muslina Mat Isa, 42, dari Pendang berkata, program ini memberinya satu perspektif lain terutama dalam pemasaran kerepek keluaran syarikatnya menerusi platform digital seperti TikTok dan Facebook.

"Saya melihat program ini memberi nilai tambah kepada saya dalam cara untuk memasarkan produk dengan lebih berkesan terutamanya apabila menggunakan platform TikTok dan Facebook.

"Malah, kita juga ingin mendalami ilmu berhubung teknolgi AI yang dikatakan mampu membantu perniagaan kita untuk lebih berdaya saing," katanya.

Seorang lagi usahawan dari kaum Orang Asli, Kristina Bah Uda, 52, dari Tapah, Perak berkata, program berkenaan juga memberi peluang kepada usahawan Orang Asli sepertinya mempelajari selok belok perniagaan dari sudut digital.

"Saya mengasaskan produk penjagaan kulit berasaskan organik baharu setahun lalu jadi melihat pada objektif program ini amat jelas kerana kita perlu seiring dengan perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan.

"Selain itu, ia juga memberi peluang kepada usahawan Orang Asli seperti saya juga dapat bersaing dengan kaum lain dalam memperkenalkan produk saya kepada khalayak ramai," katanya.

Program ini memudahkan usahawan mengadaptasi dan menceburi perniagaan secara dalam talian melalui 12 modul dengan kerjasama 26 rakan strategik Kementerian.

Antaranya, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, Rural Capital Berhad, Mesinkira, Bayarlah, Fasspay, Boost Biz, CelcomDigi, Maxis, Troopers, Ohsem Ads, ShopeeFood, Maybank Sama-sama Lokal, Lazada, Shopee, Peasy, MyMall, Petron Malaysia, Halal Development Corporation (HDC), IPVolusi, TikTok Shop Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDeC), Dattel Sdn Bhd, Lalamove dan MyNIC.

Sebanyak enam siri jelajah PPU direncanakan KKDW hingga hujung tahun ini meliputi Pahang, Sarawak dan Sabah dan Perlis adalah lokasi ketiga selepas Selangor dan Melaka pada Siri 1 dan 2 lalu.



Disiarkan pada: Julai 23, 2024 @ 7:00am






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 11:35 AM GMT+8 , Processed in 0.052311 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list