Georgetown: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo menepis dakwaan bahawa beliau diminta bercuti daripada menjalankan peranannya dalam majlis eksekutif negeri.
Timbalan Pengerusi DAP negeri itu berkata, beliau menulis secara peribadi untuk memohon cuti bagi mendapatkan nasihat mengenai beberapa masalah kesihatan dialaminya di Kuala Lumpur.
"Saya kini berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai (kecederaan) buku lali saya. Meskipun sudah dua tahun, nampaknya masalah itu semakin teruk.
"Anda boleh melihat saya berjalan terhincut-hincut dan kadang-kadang perlu dibantu oleh pegawai saya untuk naik ke pentas semasa acara," katanya di sini, hari ini.
Jagdeep berkata, beliau turut berada di ibu kota untuk mendapatkan rawatan dermatologi berhubung masalah psoriasis yang dirasakan semakin menyakitkan kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat selama empat penggal berusia 53 tahun itu dikhabarkan akan kembali bekerja pada hari Khamis ini.
Sementara itu, seorang daripada pegawai khasnya ketika dihubungi berkata, Jagdeep turut berhasrat meluangkan masa dengan dua anaknya yang pulang bercuti dari United Kingdom.
"Beliau tidak diarah oleh Ketua Manteri untuk mengambil cuti. Kami pegawai yang menasihatinya supaya mengambil cuti dan di samping itu untuk periksa jika skru di kakinya boleh dikeluarkan.
"Ini cerita yang sebenarnya," katanya ringkas.