Ayob Khan berjumpa dengan keluarga Allahyarham Asisten Superintendan Muhammad Safwan Muhamad Ismail di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, pagi semalam. FOTO IHSAN POLIS
Seremban: Pegawai polis di Bahagian Counter Terrorism E8, Cawangan Khas Bukit Aman meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer (KM) 273.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), dekat Nilai, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa yang menunggang motosikal terbabit kemalangan dengan sebuah treler, 7.45 malam.
"Kemalangan membabitkan motosikal Honda yang ditunggang seorang lelaki berumur 30-an dan sebuah treler Volvo dipandu seorang lelaki berumur 20-an.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu treler dipercayai berhenti di lorong susur masuk Rawat dan Rehat (RNR) Seremban.
"Kemudian, motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bucu sebelah kanan treler," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal parah di bahagian kepala, dan maut di tempat kejadian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142 atau mana-mana balai polis berdekatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Penolong Pengarah Bahagian E8 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turut hadir ke pengebumian pegawai terbabit di Kampung Paya, Port Dickson, semalam.
|