CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28540|Reply: 0

[Kedah] Pegawai JPJ hadapi 40 tuduhan gagal melaporkan kesalahan rasuah

[Copy link]
Post time 18-7-2024 01:20 PM | Show all posts |Read mode
Pegawai JPJ hadapi 40 tuduhan gagal melaporkan kesalahan rasuah


Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Julai 18, 2024 @ 1:04pm [email protected]




Seorang pegawai JPJ didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, atas 40 pertuduhan gagal melaporkan kesalahan rasuah berjumlah RM42,100 antara 2016 hingga 2019. NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar





ALOR SETAR: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 40 pertuduhan gagal melaporkan kesalahan pemberian rasuah berjumlah keseluruhan RM42,100 yang berlaku antara 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Mohamad Sobri Osman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 yang bertugas di JPJ Cawangan Kuala Ketil diberikan suapan berjumlah RM42,100 melalui akaun Maybank miliknya daripada Pengurus Pro-Star Transport Sdn Bhd, Saw Chee Leong antara 10 Mac 2016 hingga 8 Oktober 2019.

Suapan itu diberikan kepada tertuduh supaya tindakan tidak diambil ke atas lori milik Pro-Star Transport Sdn Bhd yang mungkin akan melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan kesalahan pemberian berkenaan kepada pihak SPRM.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Sobri boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Firdaus M Farouk.

Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dikenakan ke atas tertuduh dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Mohamed Firdaus dalam rayuannya meminta jaminan minimum berikutan anak guamnya perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan dua anak berusia 12 dan 10 tahun yang masih bersekolah selain berhadapan kemungkinan digantung kerja selepas ini.

Priscilla kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM27,000 berserta seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-9-2024 08:19 AM GMT+8 , Processed in 0.033972 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list