Georgetown: "Aunty belum sanggup buka kotak yang dihantar dan lihat apa ada di dalamnya."
Sharom Ibrahim, 67, masih mengumpul kekuatan dalam mengenang anak sulungnya, Nur Shazana Mohd Salleh, seorang daripada kru yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17 ditembak, sedekad lalu.
Pada awal 2016, beliau menerima sebuah kotak daripada pihak berkuasa, dikatakan mengandungi bagasi dan pakaian milik anaknya itu.
Kotak berbalut kain itu kekal tersimpan di bilik anaknya, sama seperti hari pertama diterima.
"Macam mana kotak itu diterima, begitulah juga bungkusan itu sekarang. Biarlah, Aunty belum ada kekuatan," katanya dalam pertemuan di sini, baru-baru ini.
Sharom yang mempunyai empat anak mengakui tidak dapat menjalankan rutin menjaga pokok bunga kesayangannya di halaman rumah sepanjang tahun-tahun awal pemergian Nur Shazana.
Ia berikutan kediamannya terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bunyi kapal terbang membelah angkasa pantas membuatkan beliau sedih.
Pokok bernombor 273
"Dulu memang tak boleh, Aunty rasa nak luruh jantung kalau dengar bunyi kapal terbang. Sekarang dah kurang sikit, tetapi bila nampak (kapal terbang) tetap teringat.
"Semua anak tinggal di Kuala Lumpur. Kalau Aunty ke sana, kakak dan abang ipar tolong siramkan pokok bunga," katanya.
Sharom dimaklumkan, pokok untuk anaknya bernombor 273 yang ditanam di Monumen Nasional MH17 berhampiran lapangan terbang Schiphol, Belanda bagi memperingati mangsa tragedi tumbuh membesar dengan baik.
Sebagai ibu, ingatan terhadap Nur Shazana tidak pernah luntur, walaupun selepas 10 tahun berlalu.
"Semakin lama Aunty 'flashback', semakin banyak yang diingati.
"Dulu ada kaunseling dan depa tanya macam-macam, Aunty suka bercerita dan rasa lega," katanya yang mengunjungi pusara Nur Syazana sebulan atau dua bulan sekali.