Lokman Hakim (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek Geran Agropreneur Muda kepada penerima pada Program Pemadanan Bella Tani Bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan Pertanian Tahun 2024. FOTO AZRUL EDHAM
Seremban: Kira-kira 41 peratus peserta bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.
Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali berkata, ia membabitkan seramai 764 usahawan tani bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-12 sehingga suku pertama tahun ini.
"Apabila kita bantu melalui geran ini, mereka dapat meningkatkan hasil produktiviti dan ia secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.
"Apabila pendapatan meningkat, ia melayakkan lagi untuk membuat pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah dan membolehkan mereka terus mengembangkan perniagaan melalui pelbagai bentuk kemudahan disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemadanan Belia Tani bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan Pertanian 2024, di sini, hari ini.
Menurutnya, KPKM memperuntukkan RM174.16 juta untuk memperkasakan golongan belia dalam sektor agromakanan menerusi bantuan GAM yang memberi manfaat kepada 9,529 penerima sejak 2016.
"Peruntukan GAM yang disalurkan kepada semua jabatan dan agensi di bawah kementerian ini merangkumi bantuan barangan seperti input dan peralatan pertanian serta infrastruktur ladang dengan nilai RM20,000 per individu meliputi pengeluaran tanaman, perikanan dan ternakan," katanya.
JKatanya, pelaksanaan GAM penting untuk menggalakkan belia menceburi bidang pertanian dan meningkatkan pengeluaran hasil tani dalam negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
"Sudah ramai golongan muda terbabit dalam bidang pertanian, malah ada dalam kalangan mereka sudah bergelar jutawan.
"Minat orang muda dalam pertanian terbuka luas, berbanding 10 ke 15 tahun lepas, tiada teknologi.
"Dahulu tiada maklumat, risiko terlalu tinggi jika tiada ilmu. Sekarang ada ilmu atas talian dengan risiko dapat dikurangkan dan lebih banyak kejayaan dicapai," katanya.
Disiarkan pada: Julai 3, 2024 @ 4:02pm
|