BALING: Keadaan Taman Eko Rimba Lata Bayu, Kampung Asam Jawa di sini, sunyi sepi kerana tidak lagi dikunjungi orang ramai selepas hutan lipur itu ditutup sejak 17 Jun lalu.
Ia berikutan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengeluarkan arahan untuk menutup sementara kawasan itu selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke pusat peranginan berkenaan.
Tinjauan mendapati, tiada orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu selepas mereka mengetahui pintu pagar pusat rekreasi terbabit ditutup, selain pihak berkuasa memasang tali amaran dan menampas notis di pagar.
Pengunjung, Suhayl Azmin,26, berkata dia datang untuk berlibur di pusat rekreasi itu dan tidak tahu kawasan berkenaan ditutup.
"Selepas tengok pintu pagar ditutup dan tali amaran di pasang serta notis amaran ditampal pada pagar, barulah saya tahu kes kencing tikus berlaku di tempat ini," katanya.
Kelmarin, Pengarah Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menutup pagar dan meletakkan tali amaran bagi mengelak pengunjung berkunjung ke kawasan terbabit.
Katanya, hutan lipur itu ditutup sehingga keadaan kembali pulih dan disahkan selamat oleh Pejabat Kesihatan Daerah.
"Kita dah tutup kelmarin untuk sementara waktu bagi mengelakkan pengunjung berkunjung sehingga keadaan pulih dan selamat.
"Kita berharap tiada pengunjung yang menceroboh masuk kerana amaran sudah dikeluarkan, malah pintu pagar ditutup," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, dua pengunjung yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu, Baling dilaporkan stabil.
EXCO Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mansor Zakaria berkata pihaknya juga tidak menerima maklumat mengenai mangsa baharu setakat ini.
"Saya menasihatkan agar pengunjung yang berkelah di pusat peranginan dan mempunyai simptom penyakit berkenaan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran kerana ia boleh menyelamatkan nyawa mereka," katanya.