BERSALAH: Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
TAWAU: Pasangan adik beradik dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang penyelia ladang di Lahad Datu, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Al Nasir Abdullah, 27, dan adiknya, Al Dimal Abdullah, 22, atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan (KK).
Mengikut pertuduhan pilihan kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mark Aquino Conahap di kawasan perumahan pekerja Ladang Kebun Jaya Estate, Ulu Segama Lahad Datu, antara jam 6.30 hingga 6.55 pagi, 17 April 2021.
Berdasarkan fakta kes kedua-dua tertuduh yang merupakan warga asing dikatakan ke rumah mangsa kerana tidak berpuas hati mengenai gaji yang diberikan, selain Al Nasir turut menuduh mangsa merogol isterinya dengan muslihat menyembuhkannya secara perubatan tradisional.
Kedua-dua tertuduh bertindak menetak mangsa menggunakan parang miliknya sehingga maut sebelum kedua-duanya melarikan diri.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun terhadap kedua-dua tertuduh bermula daripada tarikh tangkapan pada 17 April 2021 dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman itu.
Terdahulu, pada 23 Ogos 2023, kedua-dua tertuduh pertama kali didakwa di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Bagaimanapun pertuduhan itu gugur selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.
|