|
Yahaya Othman
Bentong: Seramai 45 pekebun durian Musang King di Raub ditahan sepanjang 'Ops Sekat' selama sebulan bermula 30 April lalu kerana menceroboh tanah kerajaan dan melanggar perintah mahkamah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sepanjang operasi berkenaan polis turut merampas 44 motosikal serta 12 kenderaan terdiri daripada masing-masing empat unit lori, kereta dan jengkaut.
Katanya, operasi bersepadu yang disertai 201 pegawai dan anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat.
"Sebanyak 50 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan seperti di bawah Kanun Keseksaan, Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara dan Akta Imigresen.
"Ops Sekat dilakukan bagi memastikan pekebun durian di Raub tidak terus menceroboh tanah kerajaan untuk menanam durian Musang King," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.
Pada 30 April lalu Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil alih semula tanah kerajaan dan hutan simpan yang diteroka di Raub.
Yahaya menambah, Ops Sekat yang diadakan membabitkan lapan kawasan tumpuan termasuk di Sungai Ruan, Tranum, Ulu Dong, Tras dan beberapa kawasan sekitar.
Katanya, pihak polis juga melakukan pemantauan aktiviti pembinaan 'parit gajah' di beberapa kawasan bagi mengelakkan daripada hutan berkenaan diceroboh.
"Sepanjang Ops Sekat kita turut melakukan pemantauan udara untuk meninjau kawasan bukit dan hutan yang sukar kenderaan sampai ke tempat berkenaan.
"Saya menasihatkan semua pekebun yang meneroka tanah kerajaan secara haram untuk menghormati atau menunggu keputusan mahkamah dan tidak melakukan aktiviti salahan atau perkara yang menyalahi undang-undang, bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... oboh-tanah-kerajaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|