|
Aisyah yang menghadapi masalah rabun sejak lahir menunjukkan keputusan cemerlang 9A yang diperolehnya. FOTO Nur Izzati Mohamad
Kepala Batas: Berdepan masalah rabun dengan penglihatan mata kanan kurang jelas bukan halangan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Ma'arifil Wataniah 1, di sini untuk memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan, hari ini.
Aisyah Mohd Rosdi, 18, berkata kekurangan pada dirinya tidak melunturkan semangatnya, bahkan dijadikan motivasi bagi membuktikan mampu berjaya jika berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Katanya, dia menghadapi masalah rabun sejak lahir dengan keupayaannya untuk melihat amat terhad menyebabkannya cepat pening dan muntah apabila membaca serta mengulangkaji pelajaran.
"Saya tidak boleh paksa diri sangat untuk ulang kaji, saya akan buat secara perlahan-lahan kerana akan mengakibatkan kesihatan terganggu jika terlalu fokus.
"Namun, masalah ini saya tidak jadikan alasan dan terus belajar. Biarlah ambil masa dan lambat sedikit dari orang lain kerana nak berjaya bukan mudah.
"Tambahan pula, saya dikelilingi rakan yang tidak memandang rendah pada kekurangan saya. Ibu bapa banyak memberi dorongan serta guru yang sangat memahami dan mereka adalah penyumbang kepada kejayaan saya," katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, dia tidak menyangka memperoleh keputusan 9A terutama dalam subjek Matematik yang tidak pernah langsung mendapat A sejak di Tingkatan Satu.
"Ketika peperiksaan percubaan, saya dapat keputusan 7A dan 2B saja. Apabila banyak buat latih tubi, syukur saya akhirnya peroleh A dalam subjek (Matematik) ini," katanya.
Anak sulung daripada dua beradik yang bercita-cita menjadi usahawan pertanian itu berkata, dia juga sentiasa meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan.
"Bila ada buat salah, saya memang akan cepat-cepat minta maaf, tidak kira kesalahan itu sebesar apa atau sekecil mana.
"Memang dah jadi tabiat saya (meminta maaf) kerana bagi saya bila dalam keadaan bersalah, ia akan menyebabkan konsentrasi ketika belajar terganggu yang akhirnya memberi kesan terhadap pelajaran saya," katanya.
Sementara itu, ibu Aisyah, Masyanti Noor Rehan, 44, berkata dia dan suami Mohd Rosdi Mat Sepiah, 46, bersyukur anak mereka dinobatkan Calon Murid Berkeperluan Khas (MBK) Cemerlang Pulau Pinang dalam peperiksaan SPM 2023.
Menurutnya, sebagai ibu, dia sedaya upaya dalam membantu anak sulungnya dalam memastikannya mendapat pendidikan sempurna.
"Dulu, tiap-tiap tahun saya kena pergi sekolah untuk jumpa cikgu kerana anak saya kalau duduk dalam kelas, tak boleh duduk tepi atau belakang. Dia akan pening-pening. Kadang-kadang sampai muntah.
"Sebab itu saya akan terangkan masalah anak kepada cikgu dan syukur cikgu memahami dan menempatkannya di depan atau di tengah-tengah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... utusan-cemerlang-9a |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|