View: 7817|Reply: 0
|
[Kelantan]
Mata semakin kabur, sedikit juling
[Copy link]
|
|
NOR Hasliza bersama empat dari enam anaknya termasuk Muhamad Zayyan, tujuh bulan yang dilahirkan ketika pramatang secara pembedahan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor. FOTO Siti Rohana Idris
Tumpat: Sejak dua bulan lalu, pergerakan Nor Hasliza Jaafar dari Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini, semakin terhad secara tiba-tiba.
Tidak cukup dengan itu, pandangannya juga makin merosot sekali gus menjejaskan wanita berusia 41 tahun itu untuk menguruskan rutin harian terutama menjaga bayi lelakinya, Muhamad Zayyan Mohd Zainuddin yang baru berusia tujuh bulan.
Nor Hasliza berkata, dia mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis sejak 15 tahun lalu dan kemungkinan besar apa yang dialaminya sejak kebelakangan ini adalah komplikasi penyakit berkenaan.
"Ketika mengandungkan Zayyan, darah tinggi saya naik mencanak sehinggakan saya bersalin pada usia kandungan tujuh bulan secara pembedahan kerana doktor enggan mengambil risiko.
"Sebaik habis pantang bersalin, saya kembali bekerja di kedai makan dan sejak dua bulan lalu, tubuh saya secara tiba-tiba menjadi tidak sekuat dulu manakala mata juga semakin kabur malah sedikit juling.
"Saya terpaksa berhenti kerja dan kini pergerakan menjadi terbatas malah kerja rumah juga agak terabai kerana saya tidak mampu berjalan seperti dulu dan kerap juga terjatuh walaupun untuk ke dapur atau tandas," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Nor Hasliza berkata, dia dan enam anak dengan empat daripadanya masih bersekolah bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja di sebuah kedai makan di Kota Bharu dengan upah RM50 sehari.
Menurutnya, keadaan mereka semakin terhimpit kerana memerlukan perbelanjaan besar untuk kelangsungan hidup lebih-lebih lagi perlu berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian untuk rawatan Muhamad Zayyan.
"Zayyan dilahirkan secara pramatang dan ada sedikit komplikasi dan doktor juga mengesan terdapat lubang di jantungnya serta keadaan kepala bayi kami juga agak tidak normal.
"Saya juga perlu mendapatkan rawatan lanjut berhubung kesihatan terutama untuk masalah penglihatan dan diharapkan dapat pulih kerana besar harapan saya agar dapat kembali bekerja membantu menyara keluarga," katanya.
Nor Hasliza berkata, empat anaknya yang masih bersekolah bergilir membawa wang saku kerana tidak mampu menyediakan wang secara serentak.
Katanya, jika ada yang tidak membawa wang saku pada hari itu, biasanya ada guru yang akan membantu dan bagi yang bersekolah rendah, cukuplah mengalas perut dengan makan pagi menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Bagi yang ingin membantu, boleh menghubungi Nor Hasliza di talian 01139129647.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... abur-sedikit-juling |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|