KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyeleweng diesel subsidi di sebuah lombong di Muadzam Shah, Rompin, Rabu lalu.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, susulan penahanan suspek berusia 45 itu, pihaknya turut merampas sebuah lori tiga tan diubah suai dan lebih 2,600 liter diesel bersubsidi yang cuba diselewengkan.
Menurutnya, turut dirampas tangki simpanan, motor pam dan beberapa peralatan lain dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM75,641.
"Operasi Ops Tiris 3.0 kira-kira jam 7 pagi itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan menggunakan lori diubah suai untuk dijual secara haram kepada industri.
"Hasil risikan yang dijalankan, lori berkenaan telah dikesan mengisi minyak beberapa kali dalam keadaan mencurigakan di tiga stesen minyak sepanjang Jalan Pekan di sini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Jezlily Jamaluddin
Jezlily berkata, pihaknya bertindak mengekori lori berkenaan hingga ke sebuah lombong di Muadzam Shah.
"Ketika serbuan dilakukan mendapati individu disyaki itu sedang membuat pemindahan diesel dari lori ke sebuah tangki di kawasan lombong berkenaan," katanya.
Beliau berkata, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu kepada suspek dan pemilik tangki minyak yang disita kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan dan tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan petroleum.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," ujarnya.
Sementara itu katanya, sepanjang perlaksanaan Ops Tiris 3.0, KPDN Pahang telah mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengelak belakunya penyelewengan barang kawalan oleh pihak tidak bertanggung jawab.
"Dalam tempoh 1 Januari sehingga 17 April tahun ini, KPDN Pahang telah mengambil tindakan ke atas 25 kes berkaitan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi di seluruh negeri Pahang.
"Ia termasuk 21 kes diesel bersubsidi, gas memasak (2 kes), minyak masak (1 kes) dan gula (1 kes) dengan nilai rampasan RM806,085 bagi tempoh tersebut," jelasnya.
Tegas beliau, mana-mana individu atau syarikat diingatkan agar mematuhi perundangan yang ditetapkan atau berdepan tindakan di bawah AKB 1961.
"Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak lebih RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.