Pengarah JKDM Pulau Pinang, Roselan Ramli menunjukkan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM966,976.00 pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM, Bagan Jermal. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan rampasan bernilai hampir RM1 juta dalam serbuan di kawasan perumahan sekitar Bukit Gambir, Gelugor dekat sini, 4 April lalu.
Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM serta sepasukan pegawai Unit Narkotik Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri membuat pemantauan di kawasan perumahan terbabit bermula jam 9.30 malam.
Pengarah JKDM negeri, Roselan Ramli, berkata bagaimanapun selepas hampir lapan jam menunggu didapati tiada sebarang pergerakan di kawasan terbabit.
"Pasukan kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai dua beg diletakkan di bawah pokok di dalam kawasan perumahan berkenaan.
"Beg itu kemudian dibawa pulang ke pejabat untuk pemeriksaan rapi sebelum pasukan menemui 30 bungkusan kecil dibalut dengan teh hijau tertera 'Guanyinwang' yang berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine seberat 30 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM966,976," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasan JKDM di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Roselan berkata, dianggarkan 150,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah dengan rampasan bahan terlarang itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.