TANGKAK – Sebanyak tiga tandas mudah alih (toi2) telah dihantar ke Hentian Sebelah Tangkak Arah Utara (Laybay Tangkak NB) pada petang Ahad bagi memudahkan orang ramai yang dilaporkan terpaksa beratur panjang bagi menggunakan kemudahan tandas di kawasan berkenaan.
Pihak Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dalam satu kenyataan memaklumkan ketiga-tiga toi2 itu dihantar susulan laporan video Sinar Harian menunjukkan orang ramai beratur panjang bagi menggunakan kemudahan tandas awam di hentian sebelah Tangkak Hala Utara sekitar jam 6 petang hari ini (Ahad).
Justeru, pihak PLUS mengambil inisiatif dengan menambah kemudahan tandas awam sedia ada bagi membantu orang ramai.
“Sebagai persediaan musim perayaan terutamanya bagi menghadapi penggunaan yang tinggi (meningkat), sebanyak tiga tandas tambahan telah disediakan melibatkan dua untuk wanita, satu untuk lelaki selain tandas sedia ada di lokasi.
“Kesemua kemudahan tandas tersebut dilaporkan berfungsi dengan baik sepanjang masa dengan bekalan air, tisu yang mencukupi selain tiada kerosakan peralatan dilaporkan berlaku.
“Tinjauan di lokasi juga mendapati terdapat kejadian berlaku apabila sebanyak 12 bas telah berhenti serentak di hentian tersebut yang sekali gus menjadikan permintaan penggunaan tandas meningkat; namun insiden orang ramai beratur panjang seperti yang tular di media sosial berjaya disuraikan dalam tempoh 45 minit kemudian,” katanya.
Pihak PLUS memaklumkan masalah berkenaan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 6.45 petang.
Pada masa sama, pihak PLUS turut meminta staf penyelenggaraan untuk membantu orang ramai menggunakan kemudahan tandas tambahan selain pihak seksyen meminta pihak media social PLUS menggalakkan orang ramai berhenti menggunakan kemudahan di kawasan rehat di sebelah plaza tol sebagai pilihan alternatif untuk ke tandas.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak lima toi2 telah selamat tiba di Layby Tangkak NB bagi kegunaan orang ramai.
“Bas sepatutnya berhenti di RNR (rehat dan rawat) yang banyak tandas, bukan di Hentian Sebelah yang kurang tandas. Apa pun, PLUS sudah tambah lima lagi tandas mudah alih di kawasan itu,” katanya.
|