MARANG - Seramai 163 banduan yang menjalani hukuman kurang tiga tahun di Penjara Marang, di sini berpeluang menyambut lebaran bersama keluarga selepas dibebaskan sempena program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, pada Ahad.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, kesemua banduan berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun dibebaskan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan komuniti sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.
Menurutnya, kesemua banduan yang dibebaskan secara berlesen itu akan dipantau setiap masa sebelum dibebaskan sepenuhnya.
"Semua prospek (banduan) yang dibebaskan ini menjalani hukuman atas kesalahan kecil antaranya mencuri kedai runcit, ugut, memiliki dadah, menceroboh kawasan dan memiliki barangan curi.
"Mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara," kepada pemberita di sini pada Ahad.
Seorang banduan melepaskan kerinduan terhadap keluarganya selepas dibebaskan secara berlesen melalui Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Ahad.
Hamid memberitahu, pelepasan itu memberi peluang kepada banduan untuk memiliki pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500 sekali gus memastikan mereka memiliki masa depan yang lebih baik.
"Sepanjang tempoh dipantau mereka akan diberikan ruang untuk memajukan diri di mana kita sediakan peluang pekerjaan, jika tiada penginapan kita akan sediakan pengianpan kepada mereka melalui majikan yang sediakan peluang pekerjaan untuk mereka.
"Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan," katanya.
Dalam pada itu, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga.
"Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir," katanya.
Sementara itu, seorang banduan dikenali sebagai Pok Cek, 26, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk berubah dan dalam masa yang sama dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Hamid (dua dari kiri) menyerahkan dokumen pelepasan kepada keluarga banduan sempena program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Penjara Marang pada Ahad.
"Saya bersyukur walaupun dalam keadaan begini keluarga saya masih memberi peluang dan menerima diri saya.
"Selepas menjalani hukuman di penjara, saya benar-benar insaf dan nekad untuk tidak mengulangi kesalahan ini semula," katanya yang menerima hukuman atas kesalahan mencuri.
Seorang lagi banduan, Zul, 28, berkata, pembebasan berlesen itu amat dinantikan kerana dia terlalu rindukan saat-saat bersama keluarga.
"Apabila tiba Aidilfitri, sudah tentu aroma masakan keluarga diingati dan dirindui. Saya bersyukur sangat sebab diberikan peluang ini," katanya yang dihukum atas kesalahan dadah.