Kota Bharu: Pengalaman berbuka puasa di masjid selain diperdengarkan laungan azan bersama terjemahan secara bersemuka menjadi pengalaman berharga buat 50 masyarakat bukan Islam sekitar Kota Bharu.
Setiap Ramadan sejak lapan tahun lalu, pengurusan Masjid Muhammadi di sini menerusi program 'Masjid Tour Guide' menganjurkan majlis berbuka puasa khusus untuk masyarakat bukan Islam bagi memberi kefahaman jelas mengenai amalan berpuasa serta sedikit sebanyak berkaitan aktiviti dalam masjid terbabit.
Meskipun hanya beberapa jam majlis berlangsung, kesempatan melakukan jelajah dalam kawasan masjid selain diperdengarkan laungan azan serta berbuka puasa beramai-ramai memberi pengalaman yang tidak ternilai buat peserta yang terdiri daripada wakil persatuan, parti politik serta individu.
Bagi Hi Teck Hui, 56, dia sudah menyertai program itu sejak di awal penganjuran lagi dan tidak pernah gagal hadir malah sangat teruja dan tertunggu-tunggu untuk memasuki Masjid Muhammadi sehinggalah dizahirkan melalui jemputan pada 24 Mac lalu.
"Saya dan lima lagi rakan dari Persatuan Hokkien Hoay Kuan Kelantan teruja apabila dijemput untuk kesekian kalinya berbuka puasa di dataran Masjid Muhammadi.
"Sebelum itu kami dibawa menjelajah kawasan luar serta dalam masjid seterusnya diperdengarkan laungan azan berserta terjemahannya dan itu sangat teruja kerana kami dapat dengar secara berdepan, sangat merdu.
"Kehadiran kami ini juga sebagai simbolik bahawa rakyat Kelantan hidup dalam harmoni walau berbilang bangsa, sekadar berbuka puasa bersama, masuk dalam masjid dan dengar azan, bukan bermakna terus masuk Islam, jadi tak perlu risau," katanya.
Dia yang mesra disapa sebagai Alex berkata, ada juga masyarakat Cina yang datang pada hari itu berpuasa dan mengambil peluang merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai sekali gus menjadikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat mereka.
Program berbuka puasa itu adalah pengurusan Masjid Muhammadi dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) serta International Islamic Information and Daawah Centre (IIDAC).
Imam Tua Masjid Muhammadi, Ustaz Hairul Azizi Mokhtar berkata, program tahunan sempena Ramadan itu sentiasa mendapat sambutan dari masyarakat bukan Islam malah ada juga yang turut berpuasa sebelum sama-sama menyertai iftar pada 13 Ramadan (24 Mac) lalu.
Beliau berkata, Masjid Muhammadi yang terletak di tengah bandar Kota Bharu sentiasa 'hidup' terutama di bulan Ramadan kerana orang ramai memenuhi Dataran Muhammadi untuk berbuka puasa beramai-ramai.
"Jam 6 petang dataran ini sudah mula dipenuhi pengunjung yang bersila di atas tikar masing-masing dan menjelang penghujung Ramadan, bilangannya boleh mencecah sehingga 2,500 orang.
"Setiap hari kami menyediakan pek makanan untuk orang ramai berbuka dan tidak hanya masyarakat setempat, pengunjung dari luar Kota Bharu serta Kelantan turut hadir memeriahkan masjid ini," katanya.