PUTRAJAYA: Pembangunan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang tidak akan mengancam kedudukan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata semua pertimbangan awal sudah diambil kira termasuk kelulusan yang diperoleh daripada pelaksanaan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA).
"Semua itu sudah pun diambil pertimbangan semasa kajian awal dilaksanakan sebelum ini dan seperti yang saya katakan, EIA sudah pun dibuat.
"Sudah tentu kawasan yang sensitif, di kawasan warisan itu, perlu diambil kira dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sudah tentu ia akan diberi perhatian khusus," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai situasi yang bakal dihadapi Georgetown sebagai tapak warisan dunia sekiranya projek LRT terbabit dilaksanakan.
Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan cukai kesesakan atau mengehadkan kemasukan kenderaan ke Pulau Pinang dengan adanya projek LRT terbabit, Loke berkata, perkara itu tidak dibincangkan.
"Kita selesaikan dahulu, bina infrastruktur terlebih dahulu, masih ada enam tahun lagi (sasaran LRT Laluan Mutiara beroperasi), bukan esok boleh selesai (projek ini).
"Jadi apabila sudah dibina, sudah tentu keadaan berubah dan dasar serta pendekatan baharu akan diambil kira tetapi setakat ini belum ada perancangan ke arah itu, kita fokus bangunkan infrastruktur," katanya.