BUTTERWORTH: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) merekodkan peningkatan pendaftaran mendadak apabila lebih 300,000 orang sehari mengemas kini data mereka dalam tempoh berbaki lapan hari lagi, sebelum sistem itu ditutup akhir bulan ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pihaknya sudah menjangkakan proses mengemas kini data pada saat akhir akan berlaku.
Katanya, ia memandangkan sudah menjadi kebiasaan rakyat negara ini yang bersikap masih mempunyai masa.
Selain itu, katanya, rata-rata rakyat mahu melihat terlebih dahulu inisiatif yang bakal diterima apabila mereka mendaftar dalam PADU sekali gus menyebabkan proses pengemasan data sengaja dibuat pada peringkat akhir.
"Bagaimanapun, kita tidak mahu rakyat terjerat atau terperangkap di saat akhir sebab sistem kita ada limitasi.
"Setakat ini kita masih boleh memastikan sistem ini berjalan dengan lancar dan ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan apabila tidak pernah terhenti walaupun satu minit dan dapat digunakan 24 jam sejak dilancarkan .
"Ini menghasilkan satu momentum kepada perkhidmatan awam apabila sistem yang dibina sendiri kakitangan awam tanpa menggunakan pihak ketiga, jelas berupaya memberi perkhidmatan. Cuma dari segi pengisian maklumat memerlukan kerjasama masyarakat," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Uzir mengadakan tinjauan program 'PADU Hour Mega' yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Syn Tze di Dewan Terbuka Taman Tanjung Indah, di sini, hari ini.
Menurutnya, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 37 peratus membabitkan 404,000 penduduk yang sudah mendaftar PADU.
Mohd Uzir berkata, pihaknya giat turun ke lapangan mengadakan program fizikal bagi membantu kelompok daerah atau kawasan yang memerlukan.
"Selain melihat pelaksanaan kemas kini dalam talian, kita turut fokus kepada pelaksanaan secara fizikal yang benar-benar memerlukan.
"Bagi yang masih belum mendaftar, mereka boleh laksanakan pada bila-bila masa tidak kira waktu siang atau malam.
"Bagi mengatasi sistem tergendala disebabkan limpahan trafik, susulan peningkatan rakyat yang mengemas kini data maka kita telah besarkan (kapasiti) sistem dan kita harap proses akan berjalan lancar hingga ia ditutup," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, keputusan terhadap hasil data sistem PADU tidak dapat diperoleh serta-merta sebaik pendaftaran tamat, sebaliknya ia perlu menjalani analisis sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan dan jemaah menteri.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh pendaftaran PADU kerana pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan subsidi bersasar menjelang akhir tahun ini.