GEORGETOWN: Umat Islam dituntut merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih supaya mendapat ganjaran pahala berlipat ganda, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata, tuntutan itu tidak wajar diabaikan kecuali dalam keadaan terpaksa termasuk mengelak jangkitan penyakit seperti ketika COVID-19 melanda dunia sebelum ini.
"Contoh kejahilan yang merugikan antara lain adalah kedudukan saf tidak sama ketika menunaikan solat berjemaah, sedangkan saf yang betul amat dituntut dalam solat berjemaah sama ada fardu atau sunat," katanya.
Beliau mengulas mengenai gambar tular menunjukkan saf wanita yang mengikuti solat tarawih dalam keadaan lompong dan terputus saf.
Wan Salim berkata, terdapat beberapa hadis memerintahkan umat Islam merapatkan saf ketika solat berjemaah, justeru terdapat ulama berpandangan perbuatan itu adalah wajib.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumhur ulama berpendapat tindakan ini sunat, manakala meninggalkannya adalah makruh.
"Ini kerana dalam hadis dinyatakan bahawa menyamakan saf adalah termasuk dalam kesempurnaan solat tetapi tidak membatalkannya," katanya. – BERNAMA