Kota Bharu: Seorang peniaga kedai makan di Jalan Wakaf Stan di sini memberi alasan tidak tahu urusan jual beli menerusi dalam talian tidak boleh dilakukan sebelum jam 3 petang pada Ramadan.
Empat bungkusan teh o ais yang dipesan pelanggan menerusi aplikasi khidmat penghantaran makanan sudah siap diisi dalam plastik hitam dan hanya menunggu kedatangan penghantar sahaja.
Aktiviti itu dilakukan jam 12.30 tengah hari tadi dan sebaik pasukan penguatkuasa tiba, pemilik premis itu memberi alasan tidak tahu bahawa urusniaga secara bersemuka dan dalam talian tidak boleh dilakukan sebelum jam 3 petang.
"Saya menerima pesanan empat teh o ais dan nasi menerusi aplikasi dalam talian dan sebaik membuka kedai jam 10 pagi tadi, kami segera memproses lauk pauk termasuk menyiapkan pesanan pelanggan itu.
"Saya ingatkan tidak mengapa menjual makanan menerusi dalam talian walaupun kedai masih belum dibuka untuk jualan tapi rupanya salah.
"Kami hanya sempat membungkus air tersebut sahaja manakala nasi lauk ayam goreng yang dipesan tidak sempat disediakan," katanya ketika ditemui di sini, ketika Operasi Bersepadu Ramadan, hari ini.
Pesanan yang diterima menerusi aplikasi grab itu terpaksa dibatalkan manakala empat minuman tersebut dirampas pihak berkuasa.
Wanita berusia 50 tahun itu juga memberitahu pelanggan yang membuat tempahan adalah berbangsa Cina namun sebaik diperiksa ternyata individu itu adalah Melayu.
"Biasanya memang saya tidak menjual sebelum jam 3 petang dan hanya membuka kedai lebih awal untuk kerja memasak sahaja dan tidak sangka hari ini nasib kami malang," katanya yang sudah tiga tahun berniaga.
Wanita terbabit dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) 2019 atas kesalahan melanggar syarat lesen.
Operasi Bersepadu Ramadan hari ini membabitkan MPKB-BRI, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam operasi yang membabitkan sekitar pusat bandar dan Kubang Kerian itu, seramai lima pengemis termasuk seorang warga Thailand ditahan dan dirujuk kepada pihak JKM.