Johor Bahru: Polis menyelamatkan empat wanita warga India, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks, semalam.
Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, sekumpulan wanita berusia 24 hingga 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari cawangan kongsi gelap, judi dan maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, lebih kurang 2.15 petang.
Katanya, kesemua mangsa diselamatkan hasil serbuan yang dijalankan di sebuah pangsapuri di kawasan Larkin Idaman, di sini.
"Dalam serbuan sama, polis juga berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan wanita warga India berusia 36 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan transporter.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan mendapati lelaki terbabit positif dadah methaphetamine," katanya dalam kenyataannya, hari ini.