BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori lari meninggalkan kenderaannya di tepi jalan bersebelahan kedai kopi dekat Bagan Lalang di sini sejurus menyedari kehadiran sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.
Curiga terhadap tindakan lelaki terbabit mendorong pasukan penguat kuasa itu menghampiri lori berkenaan sebelum membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, berkata pihaknya melaksanakan Op Tiris 3.0 semalam melalui hasil maklumat risikan yang dijalankan berhubung kegiatan penyelewengan berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap lori diselubungi kanvas yang ditinggalkan itu mendapati ia membawa dilengkapi enam unit tangki berkapasiti 1,000 liter(I) yang diubahsuai.
"Ketika diperiksa, ada sejumlah 2,800 liter minyak diesel disyaki telah diseleweng bernilai RM6,020 dalam tangki berkenaan.
"Berikutan itu, minyak diesel itu termasuk dua set pam dan paip yang digunakan dalam kegiatan terbabit disita bagi tindakan lanjut
"Nilai sitaan keseluruhan barangan termasuk minyak diesel dianggarkan berjumlah RM27,620," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jegan berkata, pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri kerana tidak memiliki dokumen atau permit kebenaran yang menyebabkan dia meninggalkan kenderaannya bagi mengelak ditahan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperoleh dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.