KUALA TERENGGANU - Pelanggan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini mengeluh kerana terpaksa menunggu sehingga hampir lima jam bagi menyelesaikan urusan berkaitan kenderaan.
Tinjauan Sinar Harian sehingga jam 3 petang pada Khamis mendapati kaunter berkenaan masih lagi dipenuhi pelanggan termasuk mereka yang menunggu di luar kaunter dan duduk di atas lantai.
Seorang pelanggan dari Dungun, Wan Nur Mohainizawati Wan Mohamad, 42, berkata, beliau sampai ke situ jam 10 pagi dan urusan berkaitan penukaran nama kenderaan selesai sekitar jam 3 petang.
Beliau memberitahu terpaksa bergerak awal dari Dungun ke Kuala Terengganu kerana perkhidmatan itu tidak boleh dilakukan di sana.
"Saya dan suami serta lima anak sampai ke sini tadi dalam jam 10 pagi dan jam 3 petang baru nama dipanggil untuk urusan di kaunter.
"Jadi, sepanjang tempoh itu saya tak boleh ke mana-mana.
"Kami sempat makan dan solat sementara menunggu nombor giliran dipanggil.
"Saya tak sangka pula prosesnya lama sehingga kami terpaksa menunggu seharian di sini malah kelas tuisyen anak-anak pun terpaksa dibatalkan sebab tak sempat balik awal ke Dungun," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurut Wan Nur Mohainizawati, beliau difahamkan keadaan sesak berlaku sejak awal tahun ini disebabkan pusat perkhidmatan berkenaan menjadi tumpuan pelanggan dari jauh serta beroperasi sehingga malam.
Sementara itu, seorang pelanggan dari Ajil, Hulu Terengganu, Azmi Harun, 50, berkata, beliau terkejut kerana mendapati kaunter berkenaan penuh sesak dengan pelanggan.
"Dua tiga tahun lepas ketika saya ke sini keadaan tidaklah seramai hari ini. Saya tak sangka pula terpaksa menunggu terlalu lama.
"Saya sampai tadi jam 1 tengah hari dan sekarang jam 3 petang pun nombor giliran saya nasih belum dipanggil.
"Saya bimbang balik tangan kosong je tak sempat selesai urusan," ujarnya.
Seorang lagi pelanggan, Muhd Azizul Kamarudin Mazlan, 40, yang mengalami nasib serupa berkata, beliau terpaksa ke kaunter itu selama dua hari berturut-turut kerana tidak dapat menunggu giliran ke kaunter dalam tempoh yang lama.
"Semalam (Selasa) saya dah ke kaunter di pejabat JPJ Negeri Terengganu dan keadaan sama juga. Penuh sesak.
"Malah kios di situ juga seolah-olah tidak diselenggara kerana tidak dapat digunakan.
"Ketika itu saya dapati hanya dua kaunter yang beroperasi sedangkan masih ramai yang menunggu giliran untuk dipanggil.
"Saya juga ke kaunter JPJ di UTC dan keadaan sama berlaku. Penuh sesak.
"Saya harap pihak berkenaan boleh ambil langkah untuk kurangkan kesesakan kaunter ini.
"Kasihan mereka yang bawa anak kecil terpaksa menunggu lama," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini menerima panggilan daripada pembaca meminta supaya membuat liputan berkenaan kesesakan yang didakwa luar biasa berlaku di kaunter tersebut.