KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan dua buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara membabitkan keseluruhan rampasan bernilai lebih RM3 juta.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pihaknya berjaya menahan dua bot nelayan asing itu melalui Operasi Naga Barat kira-kira jam 12.30 tengahari dan 1.30 petang di kedudukan lebih kurang 137 batu nautika Timur Muara Kuala Terengganu.
"Kita berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara di dua lokasi berbeza di perairan Terengganu, semalam (Rabu).
"Seramai 19 nelayan warganegara Vietnam beserta tekong berusia lingkungan 28 hingga 55 tahun telah diperiksa dan didapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kedua-dua bot nelayan asing terbabit juga didapati tidak memiliki permit untuk menangkap ikan serta telah melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Justeru, Mohd Khairulanuar berkata, kesemua mereka ditahan dan kedua-dua bot beserta 1.3 tan hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.
Antara bot nelayan asing ditahan. Foto Maritim Terengganu
Beliau berkata, kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 danAkta Imigresen 1959/63.
“Berikutan berakhirnya Monsun Timur Laut pada bulan ini, bot-bot nelayan asing terutama dari Vietnam akan cuba untuk mengambil peluang menceroboh dan menangkap hasil laut negara.
"Jadi kita tidak akan membenarkan kehadiab ini berlaku sama sekali. Kita akan perkasakan operasi terutamanya Op Naga Barat dalam mengekang bot nelayan asing itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar menyeru kepada komuniti maritim terutama supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguat kuasa.
Katanya, ia bertujuan bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya melibatkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.