|
CHENG Hoe ketika mengendalikan sesi latihan Police Tero. FOTO Police Tero FC
Kuala Lumpur: Pengendali Police Tero dari Malaysia, Tan Cheng Hoe akui bersedia untuk membawa pemain tempatan beraksi di Liga Thailand selepas ini.
Jelas bekas jurulatih Selangor FC itu, beliau tidak menolak keinginan memberi peluang kepada anak tempatan yang berkualiti menyertai Police Tero.
Katanya, pemain Malaysia turut mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu bersaing dengan kelompok pemain di Liga Satu Thailand yang diakui antara liga terbaik di rantau Asia.
"Memang kalau ada peluang saya mahu bawa pemain Malaysia bermain di sini (Police Tero) kerana kita tahu Liga Thailand juga liga yang kompetitif dan bagus untuk pemain meningkatkan prestasi.
"Itu antara pelan jangka panjang saya di sini, dan jika khidmat saya dilanjutkan saya mahu lakukan perkara itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Begitupun ujar Cheng Hoe, ia terpulang kepada kemahuan pemain adakah bersedia berhijrah dan menyahut cabaran di luar.
"Apapun ia tepulang kepada pemain Malaysia nak datang ke atau tidak. Bukan senang pemain Malaysia nak datang (sesuaikan diri di luar negara), mereka kena hadapi banyak benda baharu dan saya harap ia berjalan baik," katanya.
Ketika ini hanya seorang pemain skuad Harimau Malaya, Dion Cools yang beraksi di Liga Thailand bersama Buriram United.
Untuk rekod, beberapa pemain tempatan pernah mewarnai dan memeriahkan Liga Thailand antaranya Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United musim 2020), Mohamadou Sumareh (Police Tero musim 2020), Safawi Rasid (Ratchaburi FC musim 2023) dan ramai lagi.
Terdahulu, Cheng Hoe muncul jurulatih pertama Malaysia yang mengendalikan kelab di liga utama Thailand.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... si-di-liga-thailand |
|