|
DISASI (dua dari kanan) menyelamatkan maruah Chelsea apabila meledak gol penyamaan 2-2 ke atas Brentford malam kelmarin. – AFP
LONDON – Penyokong Chelsea mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusnya, Mauricio Pochettino selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Komuniti Brentford itu, penyokong The Blues mencemuh Pochettino selain menyebut-nyebut nama pengurus legenda, Jose Mourinho.
Berdasarkan prestasi semasa, penyokong mereka mendesak supaya Pochettino dipecat selain menganggap pengendali dari Argentina itu tidak memiliki kredibiliti untuk membimbing pasukan seperti Chelsea.
Pochettino mengakui, beliau merasakan dirinya langsung tidak dihargai, namun sedia untuk memenangi hati penyokong Chelsea dengan memenangi perlawanan akan datang.
“Saya tidak risau dengan keadaan ini dan harus menerimanya. Secara jujur, saya tidak dapat rasakan cinta daripada penyokong Chelsea dan kami perlu membina hubungan antara mereka serta barisan kejurulatihan.
“Kami perlu bina hubungan ini menerusi kemenangan dalam setiap perlawanan. Buat masa ini kami tidak boleh lakukan seperti yang diharapkan, jadi saya tidak mahu meminta apa-apa daripada mereka,” katanya.
Brentford menjaringkan gol menerusi Mads Roerslev dan Yoane Wissa, manakala gol Chelsea dijaringkan Nicolas Jackson serta Axel Disasi.
“Kami perlu berdepan realiti dan pasukan sentiasa bekerja keras untuk memenangi perlawanan. Kadang-kadang penyokong tidak gembira, jadi kami hormati pandangan mereka,” ujar Pochettino. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... -penyokong-sendiri/ |
|