View: 4950|Reply: 0
|
[Kelantan]
Harimau Belang berkeliaran di kawasan surau Pos Brooke
[Copy link]
|
|
Murad menunjukkan lokasi kelibat Harimau Belang di lihat penduduk di Pos Brooke, Gua Musang.
GUA MUSANG: Kemunculan seekor Harimau Belang yang berkeliaran di kawasan surau berhampiran kawasan pejabat dan kuarters Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dekat Pos Brooke di sini, mencetuskan kebimbangan penduduk Orang Asli di kawasan itu.
Penduduk mendakwa, Harimau Belang terbabit sudah berkeliaran di kawasan penempatan Orang Asli sejak dua minggu lalu.
Seorang penduduk, Asan Asoi, 40, mendakwa sempat melihat kelibat haiwan liar itu melompat melepasi pagar masuk ke kawasan belukar di belakang surau terbabit.
Mengimbas kejadian itu, Asan berkata, dalam kejadian pada Selasa minggu lalu itu, dia sedang meronda di kawasan pejabat dan kuaters JAKOA kira-kira jam 7 pagi.
"Ini kali pertama saya melihat Harimau Belang terbabit di kawasan surau. Saya terkejut apabila melihat 'Pak Belang' itu tiba-tiba melompat melepasi pagar sebelum menghilang di dalam kawasan belukar belakang surau.
"Pak Belang' itu mungkin tidur di kawasan surau pada waktu malam sebelum itu. Saya bernasib baik kerana tidak terserempak secara berhadapan dengannya.
"Sekarang kami sangat risau dan bimbang sekiranya ia adalah harimau yang sama menyerang anjing peliharaan penduduk di Kampung Jedip. Anjing terbabit ditemukan dengan kepala terputus dari badan," katanya ketika ditemui di Pos Brooke, di sini, hari ini.
Sementara itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Brooke, Murad Mat, berkata dia menerima makluman tentang kejadian yang berlaku melalui kumpulan WhatsApp penduduk.
Katanya kejadian yang berlaku menimbulkan kebimbangan kepada penduduk terutama apabila sudah ada serangan yang berlaku dan sudah ada yang terserempak dengan haiwan liar itu.
"Sekarang, bukan hanya ancaman gajah liar, kini Harimau Belang pula yang berkeliaran di kawasan penempatan penduduk. Kemunculan gajah liar sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu di penempatan kami walaupun sudah ada tangkapan dibuat.
"Malah kemunculan Harimau Belang ini membuatkan kami lebih takut kerana masih bebas berkeliaran di kawasan perkampungan dan boleh membahayakan nyawa penduduk.
"Kami harap pihak berwajib terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu menangani masalah haiwan liar yang membimbangkan penduduk Orang Asli di kawasan ini" katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... an-surau-pos-brooke |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|