|
ONANA meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
Liverpool: Pemain tengah Everton, Amadou Onana muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan lewat permainan ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace awal pagi tadi, hanya beberapa jam selepas Eagles melantik Oliver Glasner sebagai pengurus baharu mereka.
Skuad kendalian Sean Dyche di ambang kekalahan yang menyukarkan mereka untuk bertahan di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Jordan Ayew memastikan Palace di hadapan dengan penyudah menarik pada separuh masa kedua di Goodison Park.
Tetapi Onana menyamakan kedudukan ketika berbaki enam minit untuk mengeluarkan Everton daripada zon penyingkiran mengatasi Luton menerusi perbezaan gol.
Ia memberi tamparan kepada bekas bos Eintracht Frankfurt, Glasner, yang dilantik oleh Palace selepas Roy Hodgson berundur lebih awal bersama kelab London selatan itu.
Pembantu Hodgson, Paddy McCarthy dan Ray Lewington bertanggungjawab membimbing pasukan ketika menentang Everton, tetapi Glasner duduk menyaksikan perlawanan itu bersama pengerusi Palace, Steve Parish dan pengarah sukan, Dougie Freedman.
"Ia gol menarik oleh Jordan Ayew, tetapi kami tidak dapat bertahan. Banyak kualiti permainan ditunjukkan dan Glasner akan masuk ke dalam skuad dengan watak berbeza," kata McCarthy.
"Saya pasti pemain sedar dia sedang menyaksikan perlawanan ini. Banyak perkara positif yang dia akan lihat dan saya pasti dia tidak sabar untuk memulakan tugasnya," katanya lagi.
Bos Everton, Sean Dyche menambah: "Pujian buat Palace, mereka mempunyai ketajaman dan kelebihan dengan pengurus baharu menonton aksi mereka.
"Mereka menjaringkan gol daripada tiada apa-apa tetapi saya fikir kami bertindak balas dengan baik."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... amat-maruah-everton
|
|