|
Penyerang AC Milan, Olivier Giroud (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama menentang Monza pada aksi Serie A di Stadio Brianteo, Monza awal pagi tadi. – Foto REUTERS
MILAN: AC Milan melepaskan peluang untuk merampas tangga kedua Serie A daripada Juventus awal pagi tadi apabila mereka tumpas mengejut 4-2 di tangan Monza.
Keputusan itu menyebabkan Milan kekal di tangga ketiga dengan 52 mata, dua di belakang Juve dan 11 di belakang pendahulu liga dan musuh tradisi Inter.
Matteo Pessina, yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama selepas terjahan keras ke atas Malick Thiaw dan jaringan Dany Mota membolehkan pasukan tangga pertengahan Monza mendahului 2-0 ketika rehat.
Monza dilihat mampu melakar kemenangan mudah apabila Milan beraksi 10 pemain pada minit ke-54 selepas Luka Jovic dibuang padang kerana menumbuk pemain lawan.
Jurulatih Milan, Stefano Pioli terpaksa memasukkan tonggak utama Rafael Leao, Christian Pulisic dan Olivier Giroud dari bangku simpanan dan perubahan itu membuahkan hasil.
Giroud menyudahkan umpanan Pulisic untuk menjaringkan gol ke-12 musim ini selepas sejam dengan Pulisic sendiri menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-88.
Namun bintang muda Perancis, Warren Bondo meletakkan Monza kembali di depan dengan rembatan kencang dari jarak 20 meter pada minit ke-90 sebelum Lorenzo Colombo menokok gol keempat menerusi satu lagi sepakan penalti pada masa kecederaan.
"Ia satu kekalahan yang amat memeritkan, malam itu tidak sepatutnya terlalu teruk," kata Pioli. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... lonjak-tangga-kedua |
|