|
AHMAD Yusof Din.
Kuala Nerus: Keseronokan dua sahabat bermain bot kawalan jauh di Sungai Terengganu dekat Kampung Bukit Tumbuh di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu, pada 10.55 malam.
Katanya, 16 anggota dari BBP Kuala Nerus termasuk empat anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi.
"Kita melakukan dua kali selaman sebelum mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, ditemukan kira-kira 30 meter (m) dari jeti nelayan kampung berkenaan , jam 12.56 tengah malam.
"Mangsa ditemukan di dasar sungai dalam keadaan meniarap pada kedalaman air 12 m," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Azmi, mangsa dipercayai lemas selepas mengalami kekejangan otot ketika berenang untuk mengambil bot miliknya yang mengalami kerosakan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Sementara itu, penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain bot kawalan jauh bersama rakannya, Muhammad Danial Hafriz Abdul Halim, 26, di kawasan jeti berkenaan, kira-kira 50 m dari rumahnya kira-kira 9.30 malam.
Katanya, ketika bermain, bot mangsa mengalami kerosakan kira-kira 20 m dari jeti dan mangsa dikatakan berenang untuk mengambil bot terbabit untuk mengelak ia hanyut.
Menurutnya, ketika berenang, mangsa dikatakan mengalami kekejangan otot dan rakannya yang melihat kejadian itu cuba berenang untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal.
Rakannya yang hampir lemas diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... di-bot-kawalan-jauh |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|