View: 2613|Reply: 0
|
Misi Harimau Malaya tempa sejarah
[Copy link]
|
|
BARISAN pemain Harimau Malaya sudah mula menjalani latihan di Wisma FAM sejak kelmarin sebelum mereka berlepas ke Qatar pada 1 Januari ini. – FAM
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) melaungkan keyakinan Harimau Malaya berupaya ‘lolos’ ke pusingan 16 terbaik pada pentas Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan sekiranya barisan pemain berjaya mempamerkan prestasi seperti diharapkan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, dua perlawanan awal peringkat kumpulan menentang Jordan dan Bahrain sangat penting buat pasukan untuk meraih mata seandainya berhasrat mencipta sejarah baharu bola sepak tanah air.
“Sudah tentu harapan kita untuk (mara) ke pusingan 16 terbaik, tetapi kita harus berpijak di bumi yang nyata kerana semua 24 pasukan di Piala Asia memiliki kualiti tersendiri.
“Jika kita layak ke pusingan 16 terakhir ia adalah satu pencapaian yang baik. FAM dan ketua jurulatih (Kim Pan-gon) sudah berusaha ke arah itu.
“Saya cakap kepada barisan kejurulatihan dan pemain bahawa keadaan pasukan adalah penting pada tiga perlawanan peringkat kumpulan nanti.
“Apabila semua turun dalam mood terbaik, kondisi yang baik, maka harapan kita cerah untuk ke pusingan kalah mati,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya kelmarin.
Barisan pemain telah berkumpul dan berlatih di Wisma FAM bermula kelmarin sebelum berlepas ke bumi Qatar untuk meneruskan latihan fasa kedua pada 1 Januari ini.
Malaysia telah diundi dalam Kumpulan E dan dijadualkan menentang Jordan pada 16 Januari, disusuli aksi menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat 16 terbaik, manakala empat negara yang mengutip mata tertinggi di kedudukan ketiga turut berpeluang layak ke pusingan kalah mati kejohanan berprestij itu nanti.
Sebagai rekod, ini adalah penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia selepas pernah beraksi dalam tiga edisi pada 1976, 1980 dan 2007.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... laya-tempa-sejarah/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|